Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia berharap dapat berentap dengan China di pentas final Sudirman Cup 2025.
Kejohanan kali ini menyaksikan Malaysia dan China berada dalam kumpulan berbeza. China selaku tuan rumah berada dalam Kumpulan A bersama Algeria, Hong Kong dan Thailand.
Malaysia pula berada dalam Kumpulan C bersama Jepun, Australia dan Perancis. Kali terakhir Malaysia bertemu dengan China dalam Sudirman Cup ialah separuh akhir edisi 2009.
Kem negara terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah di Guangzhou apabila tewas 3-0. Meskipun rekod lalu tidak memihak kepada Malaysia, Aaron berharap dapat bertemu China di final.
“Kita bukan dalam kumpulan sama dengan China tetapi saya harap kita dapat bertemu dengan mereka di final,” katanya kepada CGTN Sports
Ini kerana beliau percaya skuad yang dibawa untuk edisi 2025 dilihat cukup mantap untuk menjelmakan keputusan positif di atas gelanggang.
“China sememangnya sangat kuat di mana ia akan memberi kesan kepada kita kerana kita akan merasa lebih banyak tekanan.
“Tetapi kita tidak akan biarkan tekanan beri kesan kepada kita. Skuad Malaysia (kali ini) lebih kuat daripada sebelumnya, jadi saya fikir kita ada peluang dalam perebutan gelaran juara,” tambahnya.
Aaron turut menjangkakan harapan lebih tinggi bakal diletakkan di bahu beliau dan gandingannya, Soh Wooi Yik. Ini selepas mereka muncul juara Asia baru-baru ini.
Aaron sedar tentang perkara tersebut. Atas sebab itu, beliau dan Wooi Yik akan berusaha memberikan yang terbaik di atas gelanggang.
“Selepas memenangi kejuaraan BAC 2025, pasukan mungkin mempunyai jangkaan yang lebih tinggi untuk kita. Jadi, kita akan cuba yang terbaik,” tambahnya.
Sudirman Cup 2025 bakal membuka tirainya pada 27 April ini.