Malaysia terpaksa akur mengakhiri perjalanan di suku akhir Sudirman Cup setelah tunduk kepada China.
Saingan suku akhir Sudirman Cup pada Jumaat menyaksikan pasukan negara telah diundi menentang juara 13 kali, China setelah menamatkan aksi peringkat kumpulan C sebagai naib juara.
Dua pertukaran dilakukan oleh Malaysia berbanding ketika aksi berdepan Jepun lalu dengan Izzuddin-Sze Fei serta K. Letshanaa kembali dalam senarai pemain menentang China ini.
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turun selaku wakil pertama negara namun hasrat untuk menyumbang mata disekat oleh beregu ke-2 dunia, Yan Zhe-Dong Ping yang menang dalam tempoh 49 minit.
China terus selesa mendahului skuad negara apabila pemain perseorangan lelaki, Shi Yu Qi tidak berdepan masalah untuk atasi Leong Jun Hao 21-6, 21-14, membuatkan kem Malaysia cemas.
Skuad negara akhirnya terpaksa mengakui kekuatan pasukan China setelah giliran K. Letshanaa pula tumpas 21-8, 21-7 di tangan Chen Yu Fei dalam masa 32 minit untuk menamatkan aksi negara.
Keputusan akhir, China 3-0 Malaysia.
Dengan ini, perjalanan Malaysia di Sudirman Cup 2025 tamat di pusingan suku akhir dan terlepas peluang untuk menyamai rekod terbaik mara ke separuh akhir seperti edisi 2009, 2021 dan 2023.