Sudirman Cup: Malaysia Berjuang Hebat Sebelum Tunduk Kepada Jepun
UltraSukan
BA Malaysia

Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan Sudirman Cup di kedudukan kedua selepas berjuang hebat namun akur tumpas di tangan Jepun.

Kedua-dua negara sudah pun mengesahkan tempat ke suku akhir lebih awal dengan aksi kali. ini penting untuk Malaysia dan Jepun menentukan status sebagai juara dan naib juara kumpulan C.

Barisan terkuat diturunkan oleh kem Malaysia dengan nama-nama seperti Leong Jun Hao, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Jin Wei, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie serta Toh Ee Wei jadi sandaran.

Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hadir menyumbang mata pertama buat kem negara apabila tenang mengatasi lawan, Midorikawa-Igarashi hanya dalam masa 39 minit.

Kejutan hebat berlaku apabila kapten negara, Leong Jun Hao berjaya mengatasi pemain ke-8 dunia, Kodai Naraoka dalam aksi 3 set penuh epik yang memihak wakil Malaysia 21-8, 13-21, 21-18.

Jepun kembali merapatkan kedudukan 1-2 setelah pemain perseorangan wanita, Tomoka Miyazaki mengatasi Goh Jin Wei sekaligus menghidupkan peluang buat negara Matahari Terbit itu.

Juara Asia, Aaron-Wooi Yik hampir memberi kejayaan kepada Malaysia dengan saingan hebat ke atas beregu Jepun namun akur tewas 21-12, 20-22, 21-23 di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Aksi penentuan melibatkan pasangan beregu wanita selepas itu menyaksikan wakil negara, Pearly Tan-M. Thinaah tewas di tangan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam aksi yang memakan masa 83 minit.

Keputusan akhir, Jepun 3-2 Malaysia.

Dengan ini, Jepun sah muncul juara kumpulan C manakala Malaysia terpaksa akur bergelar naib juara dengan lawan di peringkat suku akhir nanti akan ditentukan selepas tamat aksi peringkat kumpulan ini.