Kontinjen Malaysia berhasil memastikan tempat ke suku akhir Sudirman Cup apabila menumbangkan Australia dalam aksi kedua peringkat kumpulan pada Selasa.
Setelah berjaya menang ke atas Perancis dalam aksi pertama lalu, Malaysia sekali lagi turun ke gelanggang berdepan wakil Oceania, Australia dalam misi menempah tiket ke suku akhir lebih awal.
5 pertukaran dilakukan oleh barisan kejurulatihan Malaysia kali ini dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali tersenarai dan pemain-pemain muda seperti Justin Hoh, Carmen Ting serta Go Pei Kee.
Pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turun selaku wakil pertama berdepan lawan, Ricky Tang-Gronya Somerville dan hanya perlukan 27 minit untuk meraih mata pertama buat Malaysia.
Kecemerlangan kem negara ini diteruskan dengan aksi memukau oleh Justin Hoh yang tak berdepan masalah untuk menundukkan Shrey Dhand 21-9, 21-15 untuk Malaysia mendahului 2-0.
Mata ke-3 buat negara disumbangkan oleh pemain perseorangan wanita iaitu K. Letshanaa yang hanya perlukan 27 minit ketika mudah menewaskan lawan dari Australia, Teoh Kai Qi bagi memastikan tiket ke suku akhir.
Perlawanan diteruskan lagi dengan aksi melibatkan Aaron Chia-Wooi Yik yang turun selaku wakil ke-4 negara dan tampil cemerlang mengatasi Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9.
Hasrat Malaysia bagi mencatat kemenangan bersih tidak kesampaian apabila Go Pei Kee-Carmen Ting tumpas 15-21, 18-21 di tangan Gronya Somerville-Angela Yu dalam masa 45 minit.
Keputusan akhir, Malaysia 4-1 Australia.
Dengan keputusan ini, kem Malaysia telah pun mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Sudirman Cup setelah meraih 2 kemenangan dan akan berdepan Jepun dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis.