Sudirman Cup: Roslin Hashim Enggan Pandang Enteng Cabaran Perancis
UltraSukan
Astro Arena

Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berharap kontinjen Malaysia mempamerkan aksi cemerlang bila bertemu Perancis dalam Sudirman Cup 2025.

Kelebihan tampak memihak kepada kem negara apabila Perancis memilih menghantar barisan kedua untuk kejohanan itu.

Antara pemain yang dipilih ialah Arnaud Merkle (perseorangan lelaki ke-56 dunia), Mael Cattoen-Lucas Renoir (beregu ke-68 dunia) dan Leonice Huet (perseorangan wanita ke-75 dunia).

Meskipun kelebihan ranking memihak kepada Malaysia, Roslin tidak mahu memandang rendah cabaran pasukan Eropah itu.

Atas sebab itu, beliau mahu kem negara memanfaatkan kelebihan ini untuk meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan C.

“Kita dengar ura-ura sebelum ini Perancis tidak menurunkan pemain-pemain yang kuat. Ini dikira macam pasukan kedua.

“Jadi, kalau mereka turunkan pasukan kedua, peluang kita untuk menang itu besar. Cuma kita harus ingat kena hati-hati juga,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari baru-baru ini.

Aksi Malaysia dan Perancis dalam Sudirman Cup bakal berlangsung pada 28 April, jam 9.30 pagi.