Skuad B-23 Korea Selatan meneruskan rentak cemerlang setelah berjaya meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas pasukan Thailand dalam aksi kedua peringkat kumpulan E.
Korea Selatan membuktikan mereka merupakan salah satu pasukan gergasi bola sepak Asia apabila mendahului 4-0 untuk separuh masa permainan.
Hong Hyun-Seok membuka akaun jaringan Korea Selatan pada minit ke-15 perlawanan menerusi tandukan hasil hantaran silang Go Young-Jun. 5 minit kemudian, penyerang An Jae-Joon pula menjaringkan gol kedua pasukan.
Korea Selatan meraih gol ketiga hasil jaringan Um Won-Sang pada minit ke-39 perlawanan dan sekali lagi Go Young-Jun menjadi pemain penting dalam pembinaan gerakan gol.
Memasuki hujung separuh masa pertama, giliran Lee Jae-Ik pula menjaringkan gol keempat pasukan menerusi situasi bola mati.
Bersambung babak kedua, Thailand memperkemaskan barisan pertahanan dan turut cuba bangkit menerusi beberapa percubaan namun gagal menjelmakan gol.
Korea Selatan turut mempunyai beberapa peluang pada babak kedua namun tiada sebarang gol yang dapat dihasilkan.
Korea Selatan kini mendahului kumpulan E bola sepak Sukan Asia dengan mengutip 6 mata setelah meraih kemenangan 9-0 ke atas Kuwait dan 4-0 ke atas Thailand.