“Sukan Bukan Medan Untuk Cetuskan Isu Berbaur Perkauman” – SAM
Dunia
Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia – SAM
Advertisements

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Sukan harus dilihat sebagai salah satu jentera penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menegaskan agar masyarakat khususnya para peminat sukan perlu berganjak daripada isu berbaur perkauman dalam usaha untuk membawa Malaysia ke satu aras yang lebih tinggi dan bersifat progresif.

“Sukan seharusnya menjadi satu wadah yang bebas daripada unsur perkauman dan SAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mana-mana individu yang sengaja membangkitkan isu yang tidak wajar serta tidak masuk akal.

Advertisements

“SAM menggesa agar para peminat sukan khususnya, perlu lebih bijak dan dewasa, sekali gus mencari titik persamaan dalam membangunkan sukan negara ke arah yang lebih baik kerana pada akhirnya sukan adalah milik semua,” jelas Presiden SAM, Norismadi Abd Manap.

Baru-baru ini tular di akaun media sosial milik seseorang yang memuat naik status dengan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S. Kisona susulan kekalahan pemain tersebut ke atas pemain Jepun, Akane Yamaguchi pada aksi separuh akhir kejohanan badminton Piala Sudirman di Finland, Sabtu lalu.

SAM berharap agar seluruh rakyat Malaysia amnya mengutuk mana-mana individu yang sengaja mengeluarkan komen-komen berbaur perkauman atau diskriminasi terhadap atlet negara.

Advertisements

“Jadikanlah sukan sebagai alat untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan kami menggesa agar para peminat sukan mengutuk tindakan yang tidak masuk akal itu.

“Sukan telah lama menjadi alat perpaduan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, namun ia telah dicemarkan oleh sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab,” jelas Norismadi lagi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram