Sukan SEA: Indonesia Muncul Juara Tewaskan Thailand
Asia Tenggara
PSSI
Advertisements

Indonesia mengakhiri kemarau pingat emas acara bola sepak Sukan SEA selama 32 tahun hari ini. Ini selepas anak-anak buah Indra Sjafri membelasah Gajah Perang 5-2 selepas masa tambahan dalam aksi final Sukan SEA 2023 di Stadium Olympic, Phnom Penh.

Persiapan Thailand sedikit terganggu dengan pengumuman mengejut persaraan Jonathan Khemdee beberapa jam sebelum aksi final. Ini menyebabkan anak-anak buah Indra mampu mendominasi anak-anak buah Issara Sritaro sebaik sepak mula.

Dan hasilnya, Garuda Muda mendahului menerusi Ramadhan Sananta pada minit ke-20. Tersentak, Thailand cuba bangkit tetapi mereka ketinggalan lagi menerusi gol kedua Ramadhan pada minit akhir separuh masa pertama.

Advertisements

Penyerang PSM Makassar itu berjaya melambungkan bola ke dalam gawang yang kosong sebelum sempat disekat oleh Khemdee. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, anak-anak buah Issara berusaha merapatkan kedudukan. Usaha mereka berhasil apabila penyerang Lamphun Warriors, Anan Yodsangwal menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-65.

Dengan kedudukan kini 2-1, kedua-dua pasukan tahu satu gol sudah cukup untuk menentukan momentum aksi final. Marselino Ferdinan melepaskan rembatan jarak jauh ke arah gawang Thailand pada minit ke-68 tetapi rembatan pemain tengah KMSK Deinze itu melepasi palang gol.

Advertisements

Dengan 10 minit terakhir, kedua-dua pasukan berusaha memburu gol tambahan. Sebelum perlawanan berakhir, Yotsakorn Burapha menyumbat gol penyamaan kedua pada minit ke-98 sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Gol tersebut mencetuskan keributan membabitkan bangku kedua-dua pasukan tetapi berjaya ditenangkan oleh pengadil perlawanan, Matar Ali Al Hatmi. Tetapi ketegangan sekali lagi tercetus terutama selepas Irfan Jauhari menyumbat gol ketiga Indonesia pada minit ke-91 masa tambahan.

Tatkala pemain-pemain Garuda Muda meraikan gol tersebut, berlaku insiden pukul-memukul membabitkan bangku simpanan kedua-dua pasukan. Antara yang menjadi mangsa ialah pengurus pasukan Indonesia, Sumardji sehingga terpaksa dipapah dua pegawai lain untuk kembali ke bangku simpanan Indonesia.

Advertisements

Akibatnya, pengadil dari Oman itu tidak teragak-agak melayangkan beberapa kad merah kepada pemain dan pegawai kedua-dua pasukan. Ini termasuk penjaga gol Thailand, Soponwit Rakyart dan bek tengah Indonesia, Komang Teguh. Bagi memastikan ia tidak berterusan, Matar meminta kerjasama Issara dan Indra bagi menenangkan keadaan bangku masing-masing.

Situasi Thailand bertambah sukar apabila Khemdee dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-102. Ini sudah pasti satu malam yang tidak mahu dikenang bek tengah Ratchaburi itu.

Separuh masa kedua masa tambahan menyaksikan Indonesia menyumbat gol keempat menerusi Fajar Fathur Rahman. Derita Gajah Perang terus bertambah apabila Teerasak Poeiphimai mengutip kad kuning kedua sekaligus memaksa mereka bermain dengan lapan orang pemain.

Advertisements

Keadaan itu dimanfaatkan pemain tengah Beckham Putra untuk menyumbat gol kelima perlawanan. Kemenangan 5-2 ini bukan saja mengakhiri kemarau emas 32 tahun Indonesia.

Malah, ia turut memusnahkan harapan anak-anak buah Issara untuk memenangi pingat emas pertama sejak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia. Sementara Ramadhan pula berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Sukan SEA 2023 dengan rakan sepasukan, Fajar dan penyerang Vietnam, Nguyen Van Tung.

Kemenangan ini turut membuka ruang bagi sesetengah pemain Garuda Muda disenaraikan dalam skuad Piala Asia 2023 Indonesia. Biarpun kejohanan tersebut hanya berlangsung pada tahun hadapan, jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong bersedia memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan di pentas benua Asia pula.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram