Sukan SEA: Skuad Wanita Malaysia Tewas Tipis Kepada Filipina
Harimau Malaya
FA Malaysia
Advertisements

Biarpun berstatus pasukan bukan pilihan, itu bukan halangan buat skuad wanita Malaysia memaksa Filipina bekerja keras sebelum tewas 1-0 di Stadium RCAF, Phnom Penh hari ini. Ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi The Azkals berstatus pasukan menduduki ranking ke-49 dunia dan layak ke Piala Dunia 2023 di New Zealand pada Julai ini.

Dengan membariskan ramai pemain yang beraksi di luar negara seperti Quinley Quezada (Red Star Belgrade) dan Kiara Fontanilla (Central Coast Mariners), tidak hairanlah anak-anak buah Alen Stajcic itu dianggap pasukan pilihan.

Sementara Malayan Tigress pula yang dibimbing jurulatih Jordan, Soleen Al-Zoubi tahu perlawanan hari ini bukan sekadar peluang mengukur kemampuan anak-anak buahnya. Tetapi ini juga peluang untuk menebus kesilapan selepas tewas 3-0 kepada Vietnam beberapa hari lepas.

Advertisements

Sebaik sepak mula, Filipina melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas gawang Malayan Tigress yang dikawal Ezza Ashikin Abdul Razak. Bagaimanapun, jentera serangan The Azkals yang tumpul ditambah dengan kesungguhan pasukan negara bertahan memastikan keputusan 0-0 sehingga rehat.

Selepas rehat, Stajcic mengarahkan anak-anak buahnya menggandakan serangan ke atas kubu Malaysia. Tetapi itu masih tidak membuahkan hasil dengan anak-anak buah Soleen lebih berdisiplin mengawal pertahanan mereka.

Advertisements

Biarpun memasukkan beberapa pemain gantian bagi menambah sengat di barisan serangan, ia masih gagal membantu Filipina mencari gol kemenangan. Tetapi semua itu berubah apabila Sarina Bolden menanduk masuk gol kemenangan pada minit akhir perlawanan bagi membolehkan The Azkals meraih tiga mata penuh.

Keputusan ini membolehkan Filipina mengikat Myanmar untuk kedudukan kedua dengan tiga mata. Sementara Malayan Tigress pula berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata sekaligus tersingkir dari Sukan SEA 2023.

Advertisements

Biarpun tersingkir, itu bukan bermakna semua sudah berakhir. Sekiranya anak-anak buah Soleen menunjukkan semangat juang yang sama dalam perlawanan-perlawanan seterusnya termasuk menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir pada 9 Mei ini, tiada yang mustahil buat mereka mencapai kejayaan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram