Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyuarakan kekecewaan baginda selepas melihat Selangor FC dikenakan hukuman berat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pada 25 Jun lalu, MFL mengumumkan empat hukuman yang dikenakan ke atas Selangor. Selain didenda RM100,000, Merah Kuning juga perlu menanggung kos kerugian yang ditanggung MFL dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Selangor turut dikenakan pemotongan tiga mata dan perlu beraksi tanpa penonton untuk aksi liga seterusnya membabitkan JDT untuk perlawanan liga minggu ke-14.
Sultan Sharafuddin menyifatkan hukuman tersebut bukan saja berat tetapi tidak berperikemanusiaan dengan mengambil kira semua faktor yang berlaku.
Ini termasuk faktor insiden simbahan asid yang menimpa pemain sayap Merah Kuning, Faisal Halim pada Mei lepas.
“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.
“Disebabkan itu, beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.
“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” ,” titahnya menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh Selangor Royal Office.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan seandainya baginda masih menerajui pentadbiran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Selangor, baginda akan menarik keluar pasukan daripada menyertai Liga Super.
Ini kerana baginda tidak mahu melihat Selangor dan sukan bola sepak amnya terus tergugat dengan insiden keganasan terutama insiden yang menimpa Faisal.
“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.
“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.
“Beta kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS. Namun jika beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” tambahnya lagi.
Susulan itu, Selangor telah memaklumkan akan membuat rayuan tentang hukuman yang dikenakan. MFL kemudiannya memaklumkan pengurusan Merah Kuning boleh membuat rayuan dalam tempoh empat hari sebelum badan rayuan bersidang dalam tempoh sebulan.