Menjelang sepak mula Pestabola Merdeka yang menemukan Malaysia dan India pada esok 13 Oktober, pemain lagenda India, Sunil Chettri memberi pandangan beliau mengenai perlawanan yang dijangka sengit itu.
Bagi Chettri, beliau merasakan perlawanan berdepan Malaysia adalah sangat bagus buat pasukan India bagi memperbaiki permainan mereka ketika beraksi di gelanggang lawan memandangkan rekod India di tempat lawan adalah kurang memberangsangkan.
“Rasanya gembira dapat kembali ke pasukan kebangsaan selepas memenangi Piala Antara Benua dan Kejohanan SAFF. Situasi berbeza di sini apabila kami bermain jauh dari India, dan kami telah mendengar tentang sambutan hangat yang kami bakal terima pada hari perlawanan.
“Ianya agak janggal bagi kami untuk bermain perlawanan di tempat lawan, dan ini akan menjadi peluang yang sangat baik untuk kami memperbaiki rekod di tempat lawan. Ia satu ujian yang baik, dan kami semua menantikannya,” katanya seperti dilaporkan AIFF.
Dalam masa yang sama, Chettri membayangkan beliau dan rakan sepasukannya akan memberikan fokus sepenuhnya demi mencapai kemenangan berdepan Malaysia.
“Ia (Pestabola Merdeka) adalah kejohanan yang sangat penting buat Malaysia, tetapi kami hanya memikirkan tentang perlawanan pertama kami sekarang. Kami perlu fokus kepadanya dan memenangi perlawanan, sebelum memikirkan perkara-perkara yang lain,” katanya.
Perlawanan Malaysia dan India yang dijadualkan esok akan dilangsungkan pada jam 9 malam dan bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pemenang bagi perlawanan ini bakal berdepan Tajikistan yang mendapat bye selepas penarikan diri Palestin.