Penyerang Thailand, Suphanat Mueanta tidak sabar membantu pasukan itu bila bertemu Malaysia dalam saingan ASEAN Championship 2024.
Thailand membuka kempen Kumpulan A dengan kemenangan dominan 10-0 ke atas Timor Leste di Stadium Hang Day, Hanoi pada 8 Disember lalu.
Suphanat, Ben Davis, Patrik Gustavsson, Seksan Ratree, Teerasak Poeiphimai dan Nicholas Mickleson memastikan pasukan yang dibimbing Masatada Ishii itu menerajui Kumpulan A.
Selepas ini, Thailand akan berehat kerana tidak beraksi dalam aksi kedua kumpulan yang berlangsung pada 11 Disember. Setelah itu, skuad Gajah Perang bakal berentap dengan Harimau Malaya.
Malaysia membuka kempen kumpulan dengan satu mata selepas diikat 2-2 dengan Kemboja. Meskipun Harimau Malaya baru meraih satu mata, Suphanat enggan memandang rendah cabaran anak buah Pau Marti Vicente.
“Perlawanan seterusnya menentang Malaysia bakal menjadi satu aksi yang menarik. Malaysia satu pasukan yang kuat dan itu akan menjadi satu lagi perlawanan menghiburkan.
“Saya harap para penyokong akan terus (datang ke Stadium Rajamangala) untuk menyokong kita,” katanya selepas perlawanan.
Bekas penyerang OH Leuven itu turut mengakui kekurangan masa berlatih bersama-sama sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan serangan Thailand. Pada masa sama, Suphanat percaya apabila situasi itu dapat diatasi, skuad Gajah Perang bakal menjadi lebih baik.
“Hakikat bahawa kita tidak mempunyai sesi latihan pasukan penuh menyebabkan pergerakan serangan kita kurang lancar.
“Sekiranya kita mempunyai lebih banyak masa berlatih sama-sama, keputusan dan corak permainan kita akan jadi lebih baik,” tambahnya.
Thailand bakal menghadapi Harimau Malaya di Stadium Rajamangala pada 14 Disember ini.