Pasangan beregu lelaki Malaysia, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei tersingkir di pusingan pertama Swiss Open apabila tumpas kepada beregu Jepun, Hiroko Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Setelah hasrat ke suku akhir di All England tidak kesampaian, Izzuddin-Sze Fei meneruskan aksi di Swiss Open dan diundi bertemu Midorikawa-Yamashita pada pusingan pertama kali ini.
Berdasarkan rekod pertemuan, ini adalah pertarungan sulung melibatkan kedua-dua beregu namun di atas kertas, Izzuddin dan juga Sze Fei tampak memiliki kelebihan dari segi ranking semasa
Turun selaku pilihan pertama, Izzuddin-Sze Fei dilihat sedikit bergelut dengan corak permainan sendiri yang memberikan mata-mata mudah kepada beregu lawan mendahului di awal aksi.
Kebangkitan berjaya dilakar oleh pasangan negara ini apabila cemerlang mengikat kedudukan 20-20 di hujung aksi namun sedikit kelekaan memberikan kemenangan buat Midorikawa-Yamashita.
Aksi di set kedua bermula lebih baik untuk Izzuddin-Sze Fei yang mengasak lawan tanpa henti dengan deretan pukulan smesy bagi melebarkan jurang kelebihan mata sejak dari awal aksi.
Serangan tanpa henti ke arah Midorikawa-Yamashita telah membuatkan permainan beregu dari Jepun sedikit goyah sekaligus membuka ruang buat Izzuddin-Sze Fei menang di set kedua.
Di set penentuan, Izzuddin-Sze Fei berusaha bagi membawa momentum dari set sebelum ini namun percubaan itu tampak tak berjaya yang menyaksikan mereka tewas dalam masa 53 minit
Pertarungan di gelanggang 3 berakhir dengan keputusan 25-23, 15-21, 21-11 memihak Midorikawa-Yamashita dari Jepun.
Di pusingan kedua, Midorikawa-Yamashita akan berdepan cabaran salah satu pasangan dari Chinese Taipei yang akan bertemu sesama sendiri iaitu Chen Cheng Kuan-Lin Bing Wei atau Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.