Penyerang berbisa Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad memberi petanda bahawa beliau akan meninggalkan pasukan ‘Sang Kenari’ dalam masa terdekat.
Syafiq yang berusia 29 tahun hadir ke Kedah sebagai pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal musim 2024/2025.
Namun jodoh Syafiq bersama Kedah dijangkakan bakal terlerai musim ini selepas pemain yang sinonim dengan skuad kebangsaan itu memuatnaik Instagram Story yang memaparkan sebuah lori sedang mengangkut barang-barang dari rumahnya.
Manakala isteri kepada Syafiq iaitu Nur Amalina Norain turut memuat naik foto yang sama dengan kapsyen seolah-olah memberi bayangan jodoh Syafiq di Kedah bakal berakhir.
“Dua kali kami memilih untuk kembali ke negeri (Kedah) tapi bukan rezeki kami. Semoga dipermudahkan segala urusan. Seterusnya 2025/2026,” kongsi Amalina seperti di Instagram.
Kelibat Syafiq di padang latihan bersama pasukan Kedah juga sudah lama tidak disaksikan manakala kali terakhir Syafiq turun beraksi bersama Kedah ialah pada 10 Januari lalu apabila beliau masuk sebagai pemain gantian ketika Kedah berdepan Kelantan Darul Naim FC.
Pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu sebelum ini pernah kembali ke Kedah buat kali pertama pada musim 2022 namun jodohnya bersama Kedah ketika itu hanya bertahan 6 bulan sebelum kembali ke JDT.
Syafiq sekali lagi dipinjamkan ke Kedah pada awal musim 2024/2025 namun tempoh pinjaman selama semusim akan tamat pada penghujung bulan April.