Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad dijangka pulang ke pangkuan kelab dengan status berbeza.
Pemain berusia 29 tahun itu dipinjamkan ke Kedah Darul Aman buat kali kedua pada musim 2024/25 dan menjadi antara tunjang utama kelab.
Masalah luar padang menjejaskan perancangan pasukan seterusnya menyaksikan penyerang kebangsaan itu pulang ke pangkuan skuad Harimau Selatan.
Laporan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memberi bayangan bahawa Syafiq Ahmad bakal pulang ke JDT namun hanya sementara.
Terengganu dijangka menjadi destinasi pilihan pemain versatil itu untuk memulakan kempen musim baharu 2025/26.
“Dijangka pulang ke JDT selepas tinggalkan Kedah Darul Aman, kelibat Syafiq Ahmad bagaimanapun difahamkan menarik minat Terengganu musim depan,” ujarnya di laman X.
Sebelum ini, keluarga Syafiq telah memuat naik proses mereka untuk mengosongkan rumah di Kedah sekali gus memberi bayangan akan membawa haluan baharu.
Namun begitu, tiada keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh JDT mengenai perancangan berhubung masa depan Syafiq tatkala sudah dikaitkan dengan beberapa kelab ketika ini.