Tekong kebangsaan, Syahir Rosdi diiktiraf Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai tekong terbaik dunia.
Ini berdasarkan sijil pengiktirafan ISTAF yang dikongsikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di platform rasmi mereka.
“Tahniah Muhammad Syahir Mohd Rosdi atas pengiktirafan dari Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF). Andalah tekong terbaik dunia!” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
ISTAF memilih Syahir sebagai tekong terbaik dunia atas beberapa faktor. Beliau memiliki kemahiran teknikal bertaraf elit, kepintaran dari segi taktikal, ketahanan mental dan cemerlang bila bersaing di gelanggang.
Selain itu, Syahir juga memberi sumbangan besar kepada sepak takraw negara dan antarabangsa. Beliau juga dilihat komited mempamerkan kecemerlangan dan integriti kesukanan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menyifatkan kesemua faktor ini melayakkan tekong Melaka Titans itu diiktiraf sebagai tekong terbaik dunia.
Syahir menjadi sebahagian daripada kontinjen sepak takraw negara yang meraih pingat emas berganda di pentas Sukan SEA 2025 baru-baru ini.
Pencapaian ini dianggap bersejarah kerana ini kali pertama ia dilakukan sejak edisi 1991 di Manila, Filipina.
Selain membantu Malaysia meraih emas dalam acara regu berpasukan, tekong berusia 28 tahun itu turut membantu meraih pingat emas dalam acara regu.