Tekong kebangsaan, Syahir Rosdi menjadi individu pertama menerima kad kuning dalam saingan SepakTakraw League (STL) musim 2025.
Insiden ini berlaku dalam aksi Kumpulan D Grand Prix (GP) Negeri Sembilan membabitkan pasukan beliau, Melaka Titans dan Negeri Sembilan Antlers.
Pada ketika itu, kedua-dua pasukan terikat 15-15 pada set pertama. Meskipun sudah diberi amaran lisan oleh pengadil, Syahir dilihat mengambil masa terlalu lama untuk membuat servis.
Situasi ini mendorong pengadil melayangkan kad kuning kepada tekong negara berusia 27 tahun itu. Menariknya, ini juga kad kuning pertama dilayangkan dalam saingan STL musim 2025.
Mengikut peraturan, kad kuning dilayangkan atas beberapa kesalahan seperti melewat-lewatkan permainan. Kad kuning hanya akan dilayangkan selepas pemain sebelum itu telah diberi amaran lisan.
Syahir yang bergandingan dengan Zaim Razali dan Azlan Alias terpaksa akur dengan kehebatan beregu tuan rumah pada akhir perlawanan.
Melaka Titans tewas kepada Negeri Sembilan Antlers dengan keputusan 17-15, 15-9. Juara GP Terengganu itu perlu menang dengan satu lagi pasukan hebat, KL Thunder jika ingin mara ke penentuan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.
Melaka Titans bakal berentap dengan KL Thunder dalam aksi kedua kumpulan yang berlangsung pada jam 4.30 petang ini.