Pengendali baharu Kelantan United FC, Syamsul Saad menyatakan mahu membawa Kelantan United ke tahap yang lebih tinggi dalam saingan musim ini.
Bekas jurulatih Perak FC II itu menganggap sejarah yang lepas jangan dikenang kerana kekuatan yang ada pada anak jati negeri ini bakal memberi hasil yang positif di pentas Liga Malaysia 2022.
Bagi Syamsul, buat masa sekarang kelab yang telah melakukan rombakan pasukan dengan membawa pemain baharu ini dilihat tidak nampak lagi potensi masing-masing, termasuklah pasukan beliau.
“Saingan Liga Premier tampak terbuka sebenarnya dan jangan hanya tengok kepada sejarah serta nama pasukan semata-mata kerana pada musim baharu, kekuatan sudah berbeza.
“Kita boleh lihat sebahagian besar pemain dalam pasukan Kelantan dan Perak sebagai contoh yang telah melakukan rombakan pasukan dengan membawa masuk separuh pemain baharu, jadi semua pasukan sudah pasti tidak tahu kekuatan masing-masing, termasuk juga kami.
“Saya mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk Kelantan United kerana setiap pemain perlu ada mentaliti sebagai juara walaupun kami ini sebuah pasukan yang sederhana serta mempunyai bajet yang kecil sahaja.
Pengendali berpengalaman yang berusia 43 tahun itu teruja dengan peluang yang ada dapat diberikan kepada anak-anak jati Kelantan kerana beliay percaya pemain yang baharu ini dapat menampilkan bakat mereka yang terpendam.
Syamsul turut merasa gembira dengan kelonggaran yang diberikan bagi proses memilihan pemain kerana beliau bakal membawa masa depan yang cerah buat pasukan KUFC.
Sementara itu, Syamsul menjelaskan kehadiran beliau bukan hanya ‘membuta tuli’ dalam mengendali pasukan ini, namun cabaran yang paling besar adalah meninggalkan ahli keluarga demi berjuang untuk mengendali kelab barunya.
“Sejujurnya saya gembira kebebasan diberikan pasukan dalam memilih pemain dan paling penting saya nampak kelab ini berada dalam proses yang betul dalam membina masa depan lebih baik.
“Saya teruja ruang banyak diberikan kepada anak-anak Kelantan yang rata-ratanya berumur antara 23 ke 24 tahun untuk menunjukkan potensi dan bakat mereka,” katanya kepada MFL.
“Buat masa ini, Masashi dan Fukai antara dua import yang dikekalkan oleh pengurusan dan saya sudah merancang membawa masuk dua lagi pemain.”
“Kedua-duanya dari Afrika dengan seorang dari Ghana dan seorang lagi dari Nigeria, mereka akan tiba tidak lama lagi menyertai pasukan,” katanya.
“Hadirnya saya ke sini bukan sekadar memenuhi tawaran yang diberikan atau sekadar menyambung karier namun pengorbanan paling paling besar adalah tidak bersama ahli keluarga.”
“Saya meninggalkan anak-anak di Ipoh dengan salah seorangnya masih bersekolah kerana mengambil PT3 tahun ini sementara abang-abangnya sudah punyai karier masing-masing,” katanya.