Terdapat syarat penting buat kelab dari Korea Selatan atau luar negara yang memasang impian beraksi di Malaysia nanti.
Sebelum ini, timbul berita mengenai minat sebuah kelab dari Korea Selatan yang berhasrat untuk beraksi di Malaysia yang dimaklumkan oleh Presiden Amateur Football League, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
“Setakat ini, saya boleh mengesahkan bahawa kita telah menerima permintaan daripada sebuah kelab amatur di Korea untuk beraksi di Liga Amatur Malaysia (Liga A1),” jelasnya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Menerusi satu kenyataan, Datuk Wira Yusoff Mahadi turut menjelaskan bahawa terdapat permohonan yang diterima oleh pihak AFL daripada kelab amatur luar negara seperti Korea Selatan.
Walau bagaimanapun, AFL bakal meneliti terlebih dahulu permohonan itu dengan syarat utama kelab luar negara itu perlu berpengkalan di Malaysia jika mahu beraksi di liga bawah kelolaan mereka.
“Saya tak nafikan bahawa kita ada menerima permohonan daripada pasukan amatur dari luar negara. Salah satunya daripada Korea Selatan.”
“Kita sedang meneliti dan menilai perkara ini dan jika mereka disahkan bermain di liga kita, mereka perlu berpengkalan di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, senarai kelab yang akan beraksi di Liga A1 Semi Pro masih belum dikeluarkan secara rasmi oleh AFL dengan ura-ura mengatakan terdapat pasukan dari Liga Super bakal turut serta.