Syed Yazid Syed Omar sah bergelar pengarah tunggal syarikat yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal KL City FC, KL United FC Sdn Bhd.
Perkara ini dinyatakan pengurusan The City Boys menerusi satu pengumuman yang disiarkan di platform rasmi mereka.
Keadaan ini berlaku selepas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah KL United FC Sdn Bhd baru-baru ini.
“Tuan Syed Yazid Syed Omar kini menjadi pengarah tunggal Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd dalam fasa peralihan sebelum pemilihan KLFA. Beliau merupakan Ahli Majlis FAM dan Naib Presiden KLFA.
“Tuan Syed Yazid akan tetap komited kepada kesejahteraan dan kelestarian Kuala Lumpur City FC serta memberikan jaminan masa depan pasukan.
“Beliau turut menambah bahawa akan terus memupuk budaya kompetitif kerana kelab berhasrat mencapai lebih kestabilan di luar padang serta mengekalkan momentum yang baik di dalam padang,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, lembaga pengarah kelab menyatakan komitmen untuk menyelesaikan semua isu yang membelenggu KL City termasuk isu tunggakan gaji secara tuntas.
The City Boys terus mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri tanpa jaringan dengan Sri Pahang FC pada 27 Julai lalu.