Biarpun Thailand mempunyai ranking FIFA yang jauh lebih baik daripada Taiwan, itu tidak menghalang pasukan Asia Timur itu daripada melakar kejutan hari ini. Ini selepas anak-anak buah Gary White berjaya mengikat Gajah Perang 2-2 di Stadium Negara Kaohsiung.
Di atas kertas dengan ranking ke-114 dunia, anak-anak buah Mano Polking dilihat lebih mantap. Ini kerana mereka diperkuat pemain berstatus bintang seperti kapten Chanathip Songkrasin yang beraksi untuk Kawasaki Frontale.
Bagaimanapun, sebaik sepak mula, Taiwan yang menduduki ranking ke-156 dunia berjaya menyekat Gajah Perang daripada membolosi gawang mereka. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Separuh masa kedua menyaksikan Thailand cuba memecah kebuntuan. Tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila gol sendiri Kritsada Kaman pada minit ke-48 meletakkan tuan rumah di hadapan.
Tersentak, Gajah Perang bangkit memburu gol penyamaan. Dan kesilapan pertahanan Taiwan menghantar bola pada minit ke-62 segera direbut Teerasil Dangda sebelum menolak bola dalam gawang tuan rumah yang kosong.
Taiwan kemudiannya cemas apabila larian solo Chanathip seminit selepas itu mengelirukan pertahanan mereka sebelum bola percubaannya segera disambar penjaga gol, Pan Wen-chieh.
Gajah Perang kemudiannya mendahului menerusi gol sendiri Wang Rui pada minit ke-84. Belum sempat anak-anak buah Polking meraikan gol mereka, Chen Ting-Yang kembali menceriakan tuan rumah menerusi tandukan pada minit ke-87.
Keputusan 2-2 ini kekal sehingga tamat perlawanan. Polking pastinya berharap anak-anak buahnya dapat bangkit semula dengan merekodkan kemenangan ke atas Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 19 Jun ini.