Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah memberi saranan supaya semua pihak berhenti bercakaran dan juga menyalahkan antara satu sama lain.
Beliau yang sudah lebih 17 tahun melatih di Indonesia menegaskan, tidak adil untuk meletakkan kesalahan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pemilik, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor susulan penarikan diri beberapa kelab daripada saingan Liga Super.
“Pada saya, nak menyalahkan JDT, Tunku Mahkota Ismail 100 peratus adalah tidak adil,” tegasnya.
“Ketika JDT bermula pada 2013, siapa sangka mereka akan jadi sekuat hari ini? Saya fikir ramai yang mentertawakan mereka pada awal penubuhan kerana mereka pun pernah kalah,” katanya.
Menurut Raja Isa, kejayaan JDT hari ini adalah hasil perancangan dan pelaburan jangka panjang, termasuk pembangunan fasiliti, pusat latihan dan stadium — sesuatu yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh kelab-kelab besar lain di Malaysia.
“Mereka juga melalui proses pembinaan dari bawah, dengan visi dan misi yang jelas. Bila mereka mula berjaya dan menang Piala AFC 2015, mereka terus melabur pada kelab, bukan semata-mata pada pemain,” jelasnya.
“Kelab lain seperti Selangor, Pahang, Kedah, Kelantan pernah menguasai liga terapi ketika mereka berada di puncak, apa yang mereka buat? Sampai sekarang, ada yang belum ada padang latihan sendiri, apatah lagi stadium,” tambahnya.
Raja Isa juga menyentuh isu tunggakan gaji yang masih membelenggu beberapa kelab dan menegaskan bahawa itu adalah masalah pengurusan dalaman, bukannya kerana kewujudan pasukan dominan seperti JDT.
“Kalau JDT belanja RM100 juta pun, itu bukan isu. Kelab lain tak perlu ikut. Di Indonesia pun ada isu gaji, saya sendiri pernah lapan bulan tak dibayar. Tapi mereka tak salahkan juara liga atau pengendali liga,” katanya.
Beliau menegaskan sekarang ialah masa paling sesuai untuk kelab membuat proses transisi sama ada bertanding dengan bajet lebih rendah atau memberi ruang kepada pemain muda, berbanding terus bergantung kepada pemain lama.
“Kalau liga mati, kesan dia bukan hanya pada pemain, tapi seluruh ekosistem seperti penjaja, petugas stadium, jurulatih, semuanya terjejas. Kalau kita tutup liga, berapa generasi lagi nak tunggu untuk pulih semula?” ujarnya yang kini bersama kelab Brunei, Indera SC.