Pertahanan muda negara, Harith Haiqal Adam Afkar gembira apabila namanya tersenarai dalam senarai 24 pemain Harimau Malaya yang dipilih pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 berdepan Oman.
Ketika ditemu bual sebelum berlepas ke bumi Muscat, ubi muda Selangor ini mahu manfaatkan peluang yang diberikan sebaik mungkin. Beliau mahu buktikan kemampuan sebenar jika diturunkan dalam aksi menentang Oman kelak.
“Alhamdulilah, saya terpilih untuk skuad kebangsaan. Saya akan buat terbaik jika diberi peluang. Macam yang saya kata sebelum ini, tak kisah untuk B23 atau skuad senior, saya akan berikan apa yang saya ada.”
Harith Haiqal bersama Mukhairi Ajmal, Noaa Laine dan Azam Azmi Murad merupakan pemain B23 yang terpilih dalam senarai akhir skuad Kim Pan-gon. Harith anggap ini sebagai satu pengalaman yang bagus untuk dirinya dan peluang untuk belajar sesuatu daripada pemain-pemain senior.
“Ini akan jadi pengalaman yang baik untuk saya sebab ini satu persediaan buat saya sebelum mengharungi Piala Asia B23 di Qatar. Untuk Ajmal, Noaa dan Azam, saya rasa ini pengalaman yang baik untuk kami belajar dengan pemain-pemain senior disini.”
“Kalau saya diberi peluang bermain, saya akan buat yang terbaik. Sejujurnya saya pun tak sangka nama saya berada dalam senarai akhir skuad Kim Pan-gon. Alhamdulilah, ini rezeki buat saya di bulan Ramadan.”
Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa pemain-pemain Harimau Malaya sanggup berkorban masa dan tenaga untuk negara. Biarpun bakal terlepas perayaan Aidilfitri, ini merupakan karier yang dipilih pemain berusia 21 tahun ini.
“Saya dah dapat jadual, untuk skuad B23 dan skuad senior, saya nampak sangat padat. Saya balik, dan ke Bukit Jalil. Selepas itu saya terus lapor diri untuk B23 dan terus ke Qatar. Tak raya tak apa, ini jalan saya pilih, saya nak jadi pemain bola dan di waktu muda inilah untuk saya kerja keras untuk keselesaan di masa akan datang,” ujar Harith kepada Harimau Malaya.
Malaysia akan menentang Oman untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di Muscat pada 22 Mac kelak sebelum sekali lagi menentang Oman, menamatkan aksi di peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.