Takahiro Kunimoto Perlu Buang Tabiat Lama Untuk Bersaing Di JDT

Kunimoto JDT 1 Takahiro Kunimoto Perlu Buang Tabiat Lama Untuk Bersaing Di JDT
Johor Southern Tigers
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:36am 14/08/2023

Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Takahiro Kunimoto atau Kuni telah pun diperkenalkan secara rasmi beberapa hari yang lalu. Hadir ke JDT selaku pemain kuota Asia, Kuni dilihat sebagai aset buat gergasi bola sepak Malaysia itu dalam usaha mereka mencipta kejutan di Liga Juara-Juara AFC.

Namun begitu, ada cerita yang kurang enak untuk didengari berkenaan pemain dari Jepun ini. Melalui tinjauan di Twitter pemerhati bola sepak Malaysia dan Jepun, Ahmad Ridzuan AG, beliau berkongsi sejarah karier bola sepak Kuni.

Dalam satu ciapannya, Kuni dikatakan mempunyai isu disiplin dan telah ditamatkan kontrak sebanyak dua kali bersama dua kelab yang berbeza iaitu Urawa Reds Youth dan Avispa Fukuoka.

Biarpun mempamerkan aksi berkualiti di atas padang, Kunimoto sekali lagi terpalit dengan isu disiplin tahun lalu dan ditamatkan kontrak ketika beraksi bersama Jeonbuk Hyundai. Penamatan kontrak bersama Jeonbuk Hyundai membawa kepada perpindahan Kuni ke Portugal iaitu bersama Casa Pia.

Masa terus berlalu dan Kuni kini bersama JDT. Pemain berusia 25 tahun itu perlu berubah dan perlu lebih berdisiplin bagi bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT. Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab.

Penekanan aspek disiplin tahap tinggi yang diterapkan JDT untuk pemain-pemain mereka pasti sedikit sebanyak akan membantu Kuni untuk lebih fokus dalam karier bola sepak beliau. Ianya sekali gus dapat membantu JDT melakar sejarah demi sejarah.