Pemain sayap Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki menghargai pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Selepas menyertai Sang Rusa pada awal musim, pemain sayap Jepun berusia 25 tahun itu tidak menyangka pengalaman Liga M membantunya menjadi pemain yang lebih berkualiti.
Meskipun Negeri Sembilan dibelenggu prestasi tidak menentu sepanjang musim 2024/25, kelincahan Sasaki di atas padang menjadi bualan penyokong.
Bekas pemain FC Ehime itu percaya beliau akan tampil lebih cemerlang buat Sang Rusa untuk musim 2025/26.
“Saya datang ke sini untuk cari pengalaman baru. Ini kali pertama saya bermain di luar negara, tapi ia memang tahun yang hebat apabila dapat kenal budaya dan orang Malaysia yang sangat baik,” katanya.
“Sekarang saya dah biasa dengan bola sepak Malaysia, saya rasa musim kedua ini saya boleh tunjukkan 100% kemampuan saya.
“Dalam bola sepak, saya sentiasa fikir untuk pasukan. Saya rasa saya dah tunjuk yang saya pemain yang tak mudah mengalah walaupun dalam musim yang susah, dan akan terus berjuang untuk pasukan sampai akhir.”
Sasaki menjadi satu-satunya tonggak import yang dikekalkan Negeri Sembilan untuk kempen musim 2025/26. Ini selepas beliau memeterai kontrak baru bersama Sang Rusa selama semusim lagi.