Jodoh Tan Cheng Hoe bersama kelab Thai League 1, Police Tero dilaporkan sudah berakhir.
Sejak menerima tawaran The Silver Shield Dragon pada akhir Februari lalu, magis Cheng Hoe diharap dapat membantu pasukan itu keluar dari zon penyingkiran liga.
Malangnya, itu tidak berlaku dengan Police Tero, Trat dan Chonburi tersingkir ke saingan Thai League 2 musim depan.
Meskipun beliau berharap dapat kekal di Thailand, beberapa laporan mendedahkan kontrak Cheng Hoe bersama The Silver Shield Dragon lebih singkat daripada dijangka iaitu tiga bulan.
Ini bermakna kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini dan bukannya 30 Jun 2025 berdasarkan semakan di Transfermarkt.
Dan kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan jodoh bekas pengendali Selangor FC itu dengan Police Tero sudah berakhir.
Ini selepas jurulatih berusia 55 tahun itu dilaporkan tidak menerima tawaran kontrak baru daripada pengurusan kelab.
“Tan Cheng Hoe difahamkan tidak kekal bersama Police Tero. Kelab berkenaan kembali menggunakan jurulatih tempatan susulan tersingkir ke Thai League 2,” katanya di X.
Sepanjang 11 perlawanan bersama Police Tero, Cheng Hoe merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan.