Selepas merekodkan kemenangan 3-1 ke atas KL City, Selangor sudah pasti mahu meneruskan kecemerlangan ke atas Negeri Sembilan esok. Bagaimanapun, kelibat dua pemain iaitu Safuwan Baharudin dan Shahrel Fikri Mohd Fauzi bakal menjadi fokus anak-anak buah Tan Cheng Hoe.
Sebelum beraksi dengan Negeri Sembilan, kedua-duanya pernah beraksi dengan Selangor termasuk di bawah bimbingan Cheng Hoe musim lepas. Justeru, kedua-duanya pasti sudah masak dengan strategi taktikal bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Walaupun sedar dengan ancaman yang dibawa kedua-dua pemain itu, Cheng Hoe melihat para pemain perlu fokus 100%. Ini kerana itu saja yang perlu dilakukan bagi memastikan Merah Kuning pulang dengan tiga mata esok.
“Ya, kedua-dua pemain pernah bersama dengan Selangor dan saya rasa kedua-duanya tahu kelemahan (dan) kekuatan pasukan. Cuma sesiapa yang diturunkan kita perlu kekal fokus mendapatkan satu keputusan yang positif. Kalau kita lihat, Safuwan dan Shahrel Fikry memberi impak yang terbaik kepada pasukan Negeri Sembilan,” katanya kepada Astro Arena.
Dengan perlawanan selang sehari atau dua hari, ia sedikit sebanyak menguji tahap kecergasan semua pemain dalam Liga Super. Bagi Selangor, ia lagi mencabar jika digabungkan dengan corak permainan fizikal yang diamalkan skuad Rusa.
Atas sebab itulah, Cheng Hoe amat menitikberatkan soal pemulihan pemain terutama yang baru pulang dari tugasan bersama pasukan kebangsaan. Ini bagi memastikan pemain-pemain yang diturunkan mampu bersaing dengan anak-anak buah K. Devan dan merekodkan kemenangan di hadapan para penyokong di Stadium MBPJ esok.
“Ya, ‘recovery’ so far memang yang terbaik sebab kita tahu sebahagian pemain baru selesai tugasan dengan pasukan kebangsaan. Itu bukan satu alasanlah, ‘of course’. Kita pun memang ‘monitor’ tahap kecergasan mereka dan kita juga tak mahu pemain mengalami keletihan yang boleh mengakibatkan kecederaan.
“Itu sebab dari segi ‘recovery’, agak ringan untuk hari ini dan persiapan pun cuma ‘one day before’, latihan pun agak baik. Yang penting ialah ‘mentally’ dan ‘physically’, pemain-pemain perlu bersedia menentang Negeri Sembilan.
“Kerana dari segi fizikal, Negeri Sembilan mengamalkan cara permainan yang ‘tough’ tetapi itulah bola sepak. Saya harap pemain-pemain dapat ‘adapt’ dan ‘absorb’ semua ‘pressure’ tersebut,” tambahnya.