Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan status sebagai pasukan pilihan Piala FA dengan mengalahkan PDRM 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi pada babak kedua, JDT dihampakan dengan taktik ‘roadblock’ pelawat termasuk kerap membuang masa – satu perkara yang menjengkelkan jurulatih mereka, Esteban Solari.
Bukan sekali ancaman serangan JDT berjaya dipatahkan barisan pertahanan The Cops yang diterajui bek tengah Nigeria, James Okwuosa. Selain taktik membuang masa, beberapa pertelagahan membabitkan pemain kedua-dua pasukan juga turut merencatkan rentak permainan.
Dengan taktik berkenaan berupaya mematikan selera gol Harimau Selatan, Solari mahu anak-anak buahnya segera beradaptasi dengan taktik tersebut. Ini bagi memastikan hasrat JDT memburu kejuaraan musim ini tidak terjejas termasuk gelaran Liga Super.
“Separuh masa pertama kami datang dengan mentaliti yang baik, bermain dengan corak permainan yang baik, kami mencipta peluang (dan) menjaringkan gol. Tetapi bukan senang menentang pemain-pemain yang bermain di belakang bola dengan lima, enam orang di bahagian pertahanan.
“Tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan separuh masa pertama. Semasa rehat, kami ada bercakap tentang pihak lawan (PDRM) akan bertahan di bahagian mereka dan melengah-lengahkan permainan. Perkara-perkara sebegini membuatkan kami gementar.
“Saya fikir kita perlu belajar bagaimana berdepan dengan situasi sebegini kerana pada akhirnya, kami ada tanggungjawab untuk bermain bola sepak pantas dan menjadikan ia lebih laju.
“Saya fikir kita juga perlu mewujudkan atmosfera yang lebih baik untuk para pemain bila bermain. Ini kerana pada separuh masa kedua, penyokong-penyokong kami tidak gembira sama sekali kerana tidak menjangkakan sesuatu yang berbeza daripada persembahan biasa kami.
“Ianya amat buruk pada satu ketika, amat sukar mengamalkan corak permainan bola sepak yang bagus. Tetapi kita sudah melepasi pusingan ini (pusingan 16 pasukan terbaik), kita memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk bermain dan mendapatkan minit permainan baik 90 minit atau sebagai pemain gantian.
“Dan saya amat gembira dengan perkara ini untuk jangka masa panjang,” katanya kepada MakanBola dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
PDRM dan JDT bakal bersemuka sekali lagi untuk perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ pada 19 April ini. Dengan perubahan taktikal yang diperkenalkan jurulatih Sang Saka Biru, Azzmi Aziz pada babak kedua berhasil, pastinya taktik ini akan diulangi beliau untuk perlawanan seterusnya menentang Harimau Selatan.