Walaupun mencatat kemenangan pertama ke atas Terengganu dalam Perlawanan Sumbangsih, itu bukan alasan bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) merasa selesa. Dengan KL City menanti JDT di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur esok, ramai tertanya siapa yang bakal diturunkan oleh jurulatih Tano Solari.
Solari dilihat berteka-teki tentang siapa yang akan diturunkan esok. Tetapi jurulatih Argentina itu menegaskan sesiapa saja yang diturunkan dalam kesebelasan utama merupakan pemain utama pasukan.
“Kami tidak memiliki kesebelasan pemain utama, tapi kesemua pemain yang berada di dalam skuad JDT adalah barisan pemain utama dan siapa sahaja layak untuk diturunkan dan seperti saya katakan ia persaingan yang sihat dan mereka haru beri yang terbaik ketika latihan untuk berada dalam skuad utama,” katanya.
Di sebalik kemenangan 2-0 ke atas Terengganu beberapa hari lepas, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki Solari. Dengan KL City menjanjikan cabaran sukar, JDT perlu bekerja keras bagi mendapatkan kemenangan kedua mereka.
“Seperti yang kita tahu, aksi pertama mereka menentang Penang FC berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan itu dan mereka juga akan beraksi buat kali kedua di laman sendiri malah ia beri kelebihan buat pasukan itu.
“Tapi kami akan tampil dengan lebih mantap pada aksi itu nanti berbanding perlawanan pertama, baru-baru ini dan semestinya langkah memperbaiki apa jua kelemahan yang dikesan ketika menentang Terengganu FC (TFC) kerana enggan mengulangi kesilapan yang dilakukan.
“Walaupun tampak sukar tapi kami juga mahu kemenangan kedua kerana pasukan JDT sentiasa dahagakan kemenangan dan mahu menyerlah pada setiap perlawanan yang diharungi kerana kita boleh terlalu selesa selepas menang pada aksi pertama.
“Sebaliknya, masih ada yang perlu diperbaiki dan ianya bukan kelemahan yang ketara tapi hanya sedikit sahaja kelonggaran yang saya lihat harus diperkemaskan lagi selain ketepatan mengumpan bola dan aspek menyerang untuk mencipta gol,” tambahnya.