Tano Solari: Penting Untuk Terus Kekal Tanpa Bolos

Esteban Solari Johor Southern Tigers 8 Tano Solari: Penting Untuk Terus Kekal Tanpa Bolos
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
6:23pm 04/07/2023

Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC melakar kemenangan besar 6-1 ke atas KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Tetapi gawang Harimau Selatan dibolosi menerusi gol tunggal pelawat oleh Matko Zirdum – satu perkara yang mahu dielak oleh jurulatih mereka, Tano Solari.

Dengan gol tersebut, ini menjadikan City Boys pasukan ketiga dalam liga yang berjaya menembusi gawang juara bertahan Liga Super itu musim lepas. Bagi Solari, ini terjadi gara-gara corak permainan lemah yang ditampilkan anak-anak buahnya pada separuh masa kedua.

Perkara ini sudah pasti mahu ditambahbaik lebih-lebih lagi bila kedua-dua pasukan bakal bersemuka pada aksi final Piala FA pada 22 Julai ini. Solari berharap dengan penambahbaikan tersebut, perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

“Kami bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama di mana pemain-pemain berusaha keras untuk mencari jaringan.

“Tetapi ia berbeza pada separuh masa kedua apabila mereka tidak boleh mengekalkan rentak permainan dan saya percaya ianya tidak mudah walaupun kami dah dapat empat gol pada babak pertama.

“Penting sebenarnya untuk terus kekal tanpa bolos tetapi kami hilang fokus sehingga lawan boleh pegang bola. Sudah tentu banyak yang kita perlu perbaiki dan salah satunya adalah fokus untuk pemain kekal menumpukan perhatian,” katanya selepas perlawanan semalam.

Kemenangan ini mengekalkan Harimau Selatan di persada liga dengan 45 mata. Selepas ini, JDT FC bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan FC di SSI pada 8 Julai ini.