Semalam, JDT turun buat kali pertama untuk aksi pra-musim menentang FC Rostov. Walaupun tewas 2-0 kepada kelab Liga Perdana Rusia itu, jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya.
Perlawanan semalam menyaksikan Solari menguji semua pemain termasuk trio Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri. Tetapi pasukan gergasi Liga Super itu tumbang selepas dibolosi dua kali oleh Yegor Golenkov pada minit ke-39 dan 45.
“Ini adalah perlawanan yang menguji kami sepenuhnya, sesuatu yang telah kami jangkakan apabila bertemu pasukan yang kini di tangga ketiga Liga Russia.
Saya berpuas hati melihat transisi permainan yang baik, penguasaan bola yang mengalakkan dan menggerakkan bola sebagai satu pasukan.
“Hari ini merupakan satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan yang berkualiti. Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan-kelemahan daripada perlawanan ini.
“Niat utama di sini untuk belajar dan mencabar diri kami bila berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat agar kami dapat memperbaiki pasukan daripada apa yang kami ada sebelum ini.
“Perlawanan-perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023,” katanya selepas perlawanan JDT-Rostov semalam.
Selepas ini, Harimau Selatan bakal berdepan sebuah pasukan yang tidak dinamakan yang berpangkalan di Dubai untuk perlawanan pra-musim kedua pada 28 Januari.
Ini disusuli dengan Levski Sofia (31 Januari), Lokomotiv Moscow (2 Februari) dan Zenit St Petersburg (6 Februari).