Tano Solari Tak Rela JDT Dikejutkan Negeri Sembilan

Esteban Solari Johor Southern Tigers 1 1 Tano Solari Tak Rela JDT Dikejutkan Negeri Sembilan
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
6:18pm 07/07/2023

Menjelang aksi Liga Super seterusnya membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Negeri Sembilan FC, ramai menjangkakan satu lagi kemenangan buat Harimau Selatan. Tetapi bagi jurulatih JDT FC, Tano Solari, beliau melihat skuad Rusa bukan lawan mudah.

Ini kerana anak-anak buah K. Devan pasti tidak mahu ulangan kekalahan besar 7-0 pada 6 Mac lalu berulang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Justeru, beliau mahu anak-anak buahnya kekal fokus untuk perlawanan esok.

“Perlawanan ini akan menjadi satu perlawanan yang baharu. Perlawanan pertama sebelum ini juga sebenarnya tidak semudah yang disangka. Dalam perlawanan itu, kami hanya dapat bermain secara terbuka setelah berjaya menjaringkan gol.

“Pasukan ini (Negeri Sembilan) memang sukar dijangka. Apabila mereka benar-benar fokus maka mereka memang sukar untuk ditandingi,” katanya.

Harimau Selatan mendahului liga dengan 45 mata selepas merekodkan 15 kemenangan berturut-turut. Sementara Hoben Jang Hoben pula menduduki tangga kesembilan liga dengan 19 mata.

Biarpun selesa sebagai pendahulu, Solari mahu anak-anak buahnya tidak leka menjelang perlawanan esok. Ini kerana sebarang kesilapan mudah yang dilakukan mereka boleh saja dihukum Negeri Sembilan FC.

“Perlawanan dengan Negeri Sembilan FC ini merupakan satu lagi cabaran yang perlu diharungi tetapi bagi saya, cabaran seperti ini adalah baik buat pasukan dalam usaha menjadi pasukan yang lebih baik.

“Tetapi, dalam masa yang sama, kami juga tidak rela untuk keciciran mata dan itu membuatkan kami perlu bersedia secukupnya bagi perlawanan ini,” tambahnya.