Dua tapak padang Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) sudah mula kelihatan.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuat naik siri imej terbaru projek berkenaan selepas majlis pecah tanah NTC pada 26 Jun 2024.
Fasa pertama NTC merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis Bermuda), padang rumput hibrid dan padang rumput tiruan.
Selain itu, padang-padang ini akan dilengkapi lampu limpah dan sistem saliran berkualiti, lanskap dan pagar setinggi enam meter. Fasa pertama NTC dijangka siap pada Disember 2026.
Imej terbaru projek NTC menunjukkan dua tapak padang sudah mula kelihatan. Selain itu, kerja-kerja pemasangan lampu limpah juga semakin rancak digerakkan.
Fasa kedua projek NTC pula membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau.
Fasa ini turut menyaksikan pembinaan bumbung untuk padang rumput tiruan yang dibina dalam fasa pertama NTC.
Kedua-dua fasa projek NTC ini akan berjalan dalam waktu yang sama. Fasa kedua NTC dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.