Tekong Kelantan Warriors, Imran Omar mengakui pengalaman Pichet Pansan amat membantu regu pasukan itu di atas gelanggang.
Saingan SepakTakraw League (STL) musim 2025 menyaksikan perejam terkenal Thailand itu memperkuat pasukan Pantai Timur itu.
Imran melihat meskipun ada halangan dari segi bahasa, pengalaman Pichet amat membantu barisan pemain Kelantan Warriors di atas gelanggang.
Ini kerana selain pengalaman, perejam berusia 33 tahun itu memastikan rakan-rakan sepasukan lain kekal fokus untuk mendapatkan keputusan positif.
“Tentang Pichet ini, yang susahnya saya tak reti cakap Thailand. Tapi saya faham bila dia cakap sabai sabai, maksudnya tenang,” katanya kepada Astro Arena baru-baru ini.
Kelantan Warriors membuka kempen STL 2025 apabila menduduki tempat kelapan Grand Prix (GP) Terengganu di Gong Badak pada 22 Jun lalu.
Kelantan Warriors terpaksa akur dengan kehebatan Terengganu Turtles dalam aksi penentuan tempat ketujuh/kelapan. Kelantan Warriors tewas dengan keputusan 15-9, 15-12.