Tekong Thailand Puji Sistem & Struktur Sepak Takraw Di Malaysia
UltraSukan
Persatuan Sepaktakraw Malaysia

Bekas tekong Johor Tigris dari Thailand, Rattadech Noijaroen cukup kagum dengan sistem dan struktur sepak takraw yang wujud di Malaysia.

Pemerhatian ini dibuat beliau selepas melihat Malaysia meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan sepak takraw antarabangsa.

Selepas bergelar juara dunia dalam Piala Dunia ISTAF 2024, kecemerlangan itu diteruskan dalam saingan Thai King’s Cup dan Piala Asia Sepak Takraw 2025.

Rattadech percaya perkara ini berlaku disebabkan kebijaksanaan perancangan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) termasuk penganjuran pertandingan dan struktur kejurulatihan.

“Malaysia tidak memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut secara kebetulan iaitu Piala Dunia ISTAF, Thai King’s Cup dan Piala Asia Sepak Takraw.

“Mereka meraih kemenangan menerusi perancangan yang konsisten, struktur dan pertandingan sepanjang tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Antara pertandingan yang dinyatakan Rattadech ialah saingan Sepak Takraw League (STL). Selepas tamat saingan Piala Asia Sepak Takraw, kemeriahan sukan sepak takraw diteruskan dengan saingan STL

Pertandingan STL bukan saja membabitkan saingan Divisyen 1 dan Premier. Malah, pasukan-pasukan yang bersaing dalam STL turut menyertai pertandingan pra-musim dengan hadiah 100,000 baht (RM13,000).

Atas sebab itu, pertandingan-pertandingan ini bukan saja membantu kem negara mengenal pasti bakat-bakat baru. Malah, ini memberi mereka lebih banyak data perlawanan sebenar untuk dianalisis.

“Mereka memiliki sistem pertandingan yang lengkap dan tak terganggu yang memberi pemain-pemain muda, pemain-pemain kebangsaan dan jurulatih data perlawanan sebenar yang tetap,” tambahnya.

Rattadech turut menyifatkan sistem sepak takraw Malaysia dikendalikan secara profesional. Ini berdasarkan pengalamannya beraksi di STL bersama Johor Tigris.

“Bagaimana saya tahu sistem (sepak takraw) Malaysia dengan baik? Kerana saya pernah berada di sana. Saya pernah beraksi dalam STL,” ujarnya.

“Saya bercakap dengan para jurulatih dan peninjau bakat. Saya lihat mereka gunakan statistik perlawanan sebenar, perlawanan secara langsung dan ranking. Saya lihat mereka membahagikan tugas kejurulatihan dengan jelas: tekong, feeder dan killer.

“Mereka melayan sukan ini secara profesional kerana ia sememangnya berhak dilayan sebagai sukan profesional.”

Atas sebab itu, beliau berharap jika ada pemain Thailand yang menerima tawaran beraksi di Malaysia, mereka merebut peluang itu sebaik mungkin.

Ini kerana Rattadech melihat pengalaman beraksi di Malaysia mampu menyuntik keyakinan dan membina jati diri mereka terutama bila berdepan penyokong yang ramai.