Telefon Bimbit Intan Serah Hilang Di Amerika Syarikat
MakanBola
@intanserah
Sponsors

Bila mendapat rezeki beraksi dengan kelab luar negara, ia sememangnya satu peluang yang besar buat penyerang skuad wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli. Tetapi beliau diuji apabila kehilangan telefon pintarnya semasa pertama kali tiba di Amerika Syarikat.

Intan ketika ini berada di New York, Amerika Syarikat selepas mengesahkan perpindahannya ke kelab Women Premier Soccer League (WPSL), New York Dutch Lions (NYDL) FC.

Ad

Beliau menyifatkan kehilangan telefon pintar Samsung Note 20 Ultra itu sebagai signifikan. Ini kerana telefon tersebut digunakan bukan saja untuk urusan kerja tetapi juga untuk urusan universiti.

Ad

“Kali terakhir saya perasan telefon ada dalam kapal terbang ialah setengah jam sebelum mendarat. Kemudian saya kembali semula ke kapal terbang dari imigresen kerana saya baru sedar telefon itu tiada dalam poket atau beg.

“Sampai sahaja ke kapal terbang, staf tidak benarkan masuk dan mereka tolong carikan namun mereka beritahu tidak jumpa. Naluri saya kuat mengatakan telefon itu masih ada dalam kapal terbang,” katanya di catatan Instagram Storynya.

Ad

Di sebalik ujian tersebut, itu tidak menghalang Intan daripada cuba menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan barunya dari NYDL FC. Malah, beliau sanggup berlatih walaupun tidak tidur selama 24 jam bagi membolehkannya dipilih menentang Ospreys hari ini (awal pagi esok waktu Malaysia).

Ad

“Mendarat saja telefon bimbit hilang, then barai barai, itu saya request nak berlatih dekat jurulatih. Sekurangnya saya dapat sesuaikan diri sebelum perlawanan esok.

Ad

“Saya cuba tahan mata sebab nak tidur waktu sini. Jadi saya barai sebarai barainya, 24 jam tak tidur. Cuma doakan saya jumpa telefon bimbit saya,” tambahnya.

Intan merupakan pemain wanita ketiga negara yang beraksi di luar negara dan pertama yang beraksi di Amerika Syarikat. Beliau mengikut jejak langkah Nurul Azurin Mazlan yang beraksi untuk kelab India, Misaka United FC dan Celine Chuang yang beraksi dengan Bayern Munich pada 2021.