Pengurus Man United, Erik ten Hag tetap fokus kepada tugasnya melatih pasukan meskipun berdepan tekanan ketika ini.
Ini selepas akhbar The Sun melaporkan pengurus Belanda itu meminta dinding putih dibina sekitar pusat latihan United di Carrington. Kos pembinaan dinding itu mencecah £200,000 (RM1.1 juta).
Ten Hag meminta dinding dibina bukan saja mahu memastikan sesi latihan The Red Devils kekal rahsia. Malah, ini juga memastikan barisan pemainnya terlindung daripada elemen alam terutama angin.
Pendekatannya itu dilihat mirip kepada seorang lagi bekas pengurus United, Louis van Gaal. Semasa berada di Old Trafford dari 2014 hingga 2016, beliau meminta panel pemecah angin dipasang sekitar Carrington.
Bila ditanya mengapa panel tersebut dipasang, van Gaal memaklumkan angin tidak selalunya baik kepada pemain bola sepak. “Angin tidak selalunya menjadi kawan kepada pemain bola sepak,” katanya.
Meskipun begitu, kos pembinaan dinding yang mencecah £200,000 (RM1.1 juta) dilihat tidak masuk akal bagi staf kelab. Ini disebabkan United melancarkan kempen pengurangan kos termasuk melepaskan 250 orang pekerja.
Kedudukan ten Hag sebagai pengurus United masih lagi menjadi tanda tanya. Ini selepas barisan pengurusan United termasuk pemegang saham minoriti, Sir Jim Ratcliffe mengadakan mesyuarat di London pada 8 Oktober lalu.
Selepas bermesyuarat selama tujuh jam, pengurusan The Red Devils tidak memberi sebarang jawapan tentang kedudukan pengurus Belanda itu.
Walau bagaimanapun, ada penyokong yang percaya ten Hag masih diberi ruang oleh pengurusan United untuk menstabilkan kembali prestasi pasukan itu. Selepas ini, The Red Devils bakal berdepan Brentford pada 19 Oktober ini.