Sejak bergelar pengurus Manchester United pada musim 2022/23, Erik ten Hag sudah berbelanja sebanyak £616 juta (RM3.5 bilion) untuk pembelian pemain baharu.
Tekanan mula dirasai pengurus Belanda itu apabila melihat United tewas kepada Liverpool baru-baru ini. Dan ini tidak dibantu dengan hakikat perbelanjaan The Red Devils gagal diterjemah dengan prestasi di atas padang.
Menurut laporan Sky Sports, Antony muncul sebagai pembelian termahal United era ten Hag dengan yuran perpindahan £90 juta (RM515 juta).
Ini disusuli oleh Casemiro dan Rasmus Hojlund yang tiba di Old Trafford dengan yuran perpindahan £72 juta (RM412 juta) dan £70 juta (RM400 juta). Manakala Mason Mount dan Leny Yoro pula masing-masing menyertai United dengan nilai perpindahan £60 juta (RM343 juta) dan £58.9 juta (RM337 juta).
Satu-satunya pemain yang tiba di Old Trafford tanpa sebarang yuran perpindahan ialah pemain perancang Denmark, Christian Eriksen. Eriksen menyertai United sebagai ejen bebas selepas kontrak jangka pendeknya dengan Brentford berakhir.
Perbelanjaan besar ini berlaku semasa pengurusan kelab ketika itu diterajui naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward dan ketua pegawai eksekutif (CEO), Richard Arnold.
Selepas Sir Jim Ratcliffe memuktamadkan pengambilan saham minoriti United pada Februari 2024, beliau mengubah struktur pengurusan pasukan. Ini termasuk perlantikan Omar Berrada sebagai CEO, Dan Ashworth sebagai pengarah sukan dan Jason Wilcox sebagai pengarah teknikal.
Perubahan ini dibuat Ratcliffe demi memastikan United tidak lagi berbelanja secara berlebihan di pasaran perpindahan pemain.
Ini ditambah dengan pelaksanaan Peraturan Keuntungan dan Kelestarian Kewangan (PSR) liga di mana kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) perlu mematuhi had kerugian yang ditetapkan.
Lima pemain yang dibeli selepas pengenalan rejim pengurusan baru ini ialah Yoro, Joshua Zirkzee, Noussair Mazraoui, Mathijs de Ligt dan Manuel Ugarte.