Pengurus Manchester United, Erik ten Hag enggan melayan kritikan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo.
Ronaldo kembali mencetuskan pertelagahan dengan bos lamanya apabila menuduh ten Hag tidak memiliki mentaliti kemenangan yang diperlukan di Old Trafford.
Ini disebabkan pengurus Belanda itu dilihat realistik tentang prospek trofi utama yang dikejar United seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan enggan menetapkan sasaran.
Ini sesuatu yang tidak boleh diterima penyerang berusia 39 tahun itu. Ini kerana bagi Ronaldo, mana-mana jurulatih United perlu memiliki keinginan memburu trofi yang tinggi meskipun peluang untuk memenanginya dianggap mustahil.
“Jurulatih (Erik ten Hag), mereka kata mereka tak boleh bersaing untuk memenangi liga dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Sebagai jurulatih Manchester United, anda tidak boleh kata anda tidak boleh berjuang untuk memenangi liga dan UCL.
“Anda perlu secara mentalnya berkata, ‘Dengar, kita mungkin tiada potensi tapi saya tak boleh cakap begitu. Kita perlu cuba.’ Anda perlu mencuba,” katanya dalam temu bual bersama Rio Ferdinand untuk saluran YouTube, Rio Ferdinand Presents.
Apabila ditanya tentang komen Ronaldo, ten Hag tidak melayan komen penyerang legenda tersebut. Baginya, itu cuma pandangan peribadi legenda Portugal itu.
“Beliau (Ronaldo) kata, Manchester United tak boleh menang EPL,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan United-Southampton seperti dilaporkan Daily Mail.
“Beliau kata ini jika anda baca artikel ini dengan baik. Beliau berada nun jauh di Arab Saudi, jauh dari Manchester, jadi semua orang mempunyai pendapat dan berhak memiliki pendapat. Tidak mengapa.”
Ten Hag boleh menghela nafas lega kerana United kembali meraih kemenangan dalam liga dengan menewaskan Southampton 3-0.
Mathijs de Ligt, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho memastikan United membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium St. Mary.