Pengurus Man United, Erik ten Hag meminta penyokong agar bersabar dan memberinya ruang untuk meningkatkan potensi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Komen ini timbul tatkala United tewas buat kali ketiga dalam liga untuk musim 2024/25. Pasukan itu tewas kepada Tottenham Hotspur 3-0 di Old Trafford pada 29 September lalu.
Brennan Johnson, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke mencipta nama sebagai penjaring buat Spurs. The Red Devils turut ditimpa malang apabila kapten, Bruno Fernandes dilayangkan kad merah.
Ini kali pertama United tewas dua perlawanan di Old Trafford tanpa menjaringkan gol sejak musim 2021/22. Prestasi buruk pada musim itu turut menyebabkan pengurus The Red Devils ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer dipecat.
Meskipun United dibelenggu prestasi tidak menentu ketika ini, ten Hag mahu penyokong memberi masa kepada barisan anak buahnya untuk berkembang.
Dengan The Red Devils kini fokus membawa pemain muda berbakat seperti Joshua Zirkzee dan Leny Yoro, penyokong tidak boleh meletakkan harapan kejayaan segera buat para pemain.
“Kita ada sasaran yang tinggi dan kita mahu mencapainya untuk musim ini dan tahun-tahun mendatang.
“Pasukan ini telah menunjukkan dalam dua tahun terakhir apa yang mereka boleh capai dengan kesabaran. Dengan kesabaran, kita boleh memenangi trofi dan sekarang, kita perlu jadi lebih konsisten,” katanya seperti yang dipetik Daily Mail.
Walau bagaimanapun, ramai penyokong percaya masa semakin terhad buat ten Hag membuktikan dirinya masih lagi orang yang tepat untuk membawa kejayaan buat United.
Seandainya The Red Devils bertindak memecat ten Hag, beberapa calon dicanang bakal mengisi jawatan tersebut di Old Trafford. Antara nama yang dicanang ialah Massimiliano Allegri dan pengurus Newcastle, Eddie Howe.
Malah, Solskjaer yang juga legenda pasukan itu bersedia untuk kembali ke United buat kali kedua sekiranya diberi peluang berbuat demikian.