Jurulatih Manchester United, Erik ten Hag memandang rendah keupayaan rakan senegara dan bos baru Liverpool, Arne Slot.
Daily Mirror melaporkan tatkala Slot mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Jurgen Klopp pada akhir musim, nasib Ten Hag pula ibarat telur di hujung tanduk.
Meskipun berjaya meraih kejuaraan The FA Cup pada minggu lepas, itu bukan bererti kedudukan pengurus Belanda berusia 54 tahun itu masih selamat di Old Trafford.
Ini kerana prestasi buruk United sepanjang musim 2023/24 dilihat cukup buat pemegang saham minoriti, Sir Jim Radcliffe untuk menyingkirkannya.
Walaupun Ten Hag berisiko dipecat pengurusan The Red Devils, itu tidak menghalang beliau daripada memperlekeh Slot.
Beliau menyifatkan bekas pengendali Feyenoord itu bertuah kerana mendapat skuad yang lebih baik dan sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Jurgen dan (penolong jurulatihnya) Pep Lijnders telah meninggalkan asas yang kukuh. Beliau (Slot) datang ke kelab dalam kedudukan yang lebih baik daripada apa yang saya lakukan ketika saya pergi ke Manchester United dari Belanda,” katanya.
Ten Hag kini menunggu sama ada khidmatnya ditamatkan atau dikekalkan oleh pengurusan United. Sepanjang bersama United dalam tempoh dua musim, beliau telah menjulang Carabao Cup dan The FA Cup.