Advertisements
Ten Hag Selangkah Dapat Kerja Baru
Transfer
MakanBola
Manchester United

Bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag berpotensi menerima talian hayat daripada kelab Serie A, AS Roma.

Pengurus Belanda berusia 54 tahun itu dipecat United pada Oktober lalu susulan prestasi tidak menentu pasukan itu pada awal musim 2024/25.

Pengurusan The Red Devils kemudiannya membawa masuk bekas pengurus Sporting Lisbon, Ruben Amorim sebagai pengganti tetap ten Hag.

Akhbar The Mirror melaporkan AS Roma sudah lama berhajat mendapatkan bekas pengurus Ajax Amsterdam itu. Malah, pemilik kelab iaitu The Friedkin Group hampir menamakan ten Hag sebagai pengurus Giallorossi pada 2019 dan 2021.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku dengan Roma kemudiannya menamakan Paulo Fonseca dan Jose Mourinho dalam tempoh berkenaan.

Perkara ini berlaku kerana Ajax pada ketika itu berang dengan kelakuan Roma semasa cuba mendapatkan bintang mereka, Hakim Ziyech. Bintang Maghribi itu pada awalnya bersetuju menyertai kelab Rome itu sebelum menarik diri pada saat akhir.

Kegagalan perpindahan berkenaan menyebabkan Ajax menyekat sebarang usaha Roma daripada berhubung dengan ten Hag. Ziyech kemudiannya berpindah ke Chelsea pada 2020 dan merekodkan lebih 100 penampilan untuk kelab berkenaan.

Meskipun pasukan itu berbelanja besar dalam pasaran perpindahan untuk mendapatkan bintang seperti Artem Dovbyk dan Matias Soule, Roma gagal menyerlah dalam liga. Giallorossi kini menduduki tangga ke-12 Serie A dengan 13 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Prestasi buruk pasukan itu menyebabkan Danielle de Rossi dipecat pada September lalu. Kemasukan pengurus berpengalaman, Ivan Juric juga gagal menstabilkan pasukan itu sebelum dilepaskan kurang dua bulan selepas dilantik.

Ten Hag bukan satu-satunya calon yang diintai The Friedkin Group. Ini kerana bekas jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini turut dicanang untuk mengisi kerusi panas di Stadio Olimpico.