Pengurus Man Utd, Erik ten Hag mahu barisan anak buahnya kembali kepada perancangan asal pasukan itu.
Pengurus Belanda itu melihat itu merupakan solusi kepada prestasi tidak menentu yang dihadapi The Red Devils sejak awal musim 2024/25.
Musim 2024/25 menyaksikan United berada di tangga ke-14 liga dengan lapan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. Pasukan itu hanya mengutip dua kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan.
Ini termasuk kekalahan 3-0 di tangan Tottenham Hotspur pada 29 September lalu. Brennan Johnson, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.
Selain hanya meraih lapan mata, The Red Devils turut menjaringkan lima gol dan telah dibolosi sebanyak lapan kali.
Disebabkan prestasi tidak menentu United ketika ini, ini meletakkan ten Hag berdepan tekanan daripada penyokong. Malah, bukan sekali khabar angin bertiup tentang beberapa pengurus dicanang sebagai penggantinya di Old Trafford.
Meskipun berdepan pelbagai tekanan ini, ten Hag mahu anak buahnya untuk berpegang dengan perancangan asal pasukan. Ini termasuk menjaringkan gol dan mengurangkan bilangan gol yang dibolosi.
“Kita akan berpegang dengan pelan (permainan) dan kita yakin ia akan berjaya, jadi kita akan kekal tenang.
“Kita tidak gembira dengan kedudukan di mana kita berada (dalam liga). Sudah tiba masanya untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
United berharap dapat merekodkan kemenangan ketiga dalam liga apabila berentap dengan Brentford di Old Trafford pada 19 Oktober.