Pengurus Manchester United, Erik ten Hag langsung tidak terganggu dengan tekanan yang dihadapinya ketika ini.
Kedudukan ten Hag dalam bahaya susulan prestasi tidak menentu United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25. Ketika ini, The Red Devils menduduki tangga ke-14 liga dengan lapan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
United hanya merekodkan dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. Ini termasuk keputusan 0-0 yang diraih ke atas Aston Villa pada 6 Oktober lalu.
Keadaan ini menyebabkan ramai peminat berspekulasi pengurus Belanda itu bakal dipecat susulan prestasi buruk dalam liga.
Meskipun berdepan pelbagai spekulasi tentang jawatannya ketika ini, ten Hag langsung tidak tertekan. Malah, beliau tetap fokus dengan tugasnya sebagai pengurus United.
Selepas diikat tanpa jaringan dengan Villa, beliau berharap anak buahnya dapat bangkit dan mempamerkan prestasi yang lebih baik selepas ini.
“Tekanan? Setiap perlawanan itu penting, jadi jangan jadikan ia terlampau besar. Kita kekal tenang. Kita perlu jadi lebih baik,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
United bakal mengalihkan fokus kepada aksi liga seterusnya dengan Brentford pada 19 Oktober ini.