Kedudukan jurulatih Thailand, Mano Polking diselubungi ketidaktentuan susulan perlantikan jurulatih Buriram United, Masatada Ishii sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Thailand.
Pengumuman tersebut dibuat oleh presiden kelab Port merangkap pengurus pasukan Gajah Perang, Nualphan Lamsam atau Madam Pang dalam satu sidang media hari ini.
Selain mengumumkan perlantikan Ishii, beliau turut mengumumkan BG Pathum United akan membantu Thailand dari segi penginapan, pusat latihan dan sains sukan. Kerjasama ini dilihat penting bagi menjayakan kempen Gajah Perang dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026.
“Madam Pang mahu (Masatada) Ishii menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Thailand. Saya beri kebenaran kepada Ishii menjadi pengarah teknikal untuk membantu Mano (Polking) dalam pasukan kebangsaan Thailand.
“Mano masih ada kontrak dengan pasukan kebangsaan. Ishii akan membantu bola sepak Thailand sampai ke tahap tertinggi (Piala Dunia 2026). Ishii masih ada kontrak dengan Buriram dan Buriram bertanggungjawab untuk semua perbelanjaannya seperti biasa,” kata presiden Buriram, Newin Chidchob seperti dilaporkan SiamSport.
Bagaimanapun, wartawan sukan Thailand, Ta Lao percaya Ishii sebenarnya dipersiapkan sebagai pengganti Polking. Ini kerana jurulatih berdarah Brazil-Jerman itu mempunyai baki kontrak sehingga tamat Piala Asia 2023 yang berlangsung pada tahun hadapan.
Dari segi pencapaian, jurulatih Jepun itu sudah melakar pencapaian cemerlang bersama Thunder Castle dan kelab J1 League, Kashima Antlers. Ishii pernah menjulang gelaran J1 League dan Emperor’s Cup bersama Antlers pada 2016.
Dan pada musim lepas, beliau menjadi dalang yang merencana kejayaan treble Buriram United. Justeru, Ishii dilihat lebih daripada bekemampuan mengisi kerusi panas Thailand yang diisi Polking ketika ini.
Sementara Polking pula membantu Gajah Perang menjulang Piala AFF sebanyak dua kali iaitu pada 2020 dan 2022. Gaya permainan menyerangnya disukai penyokong dengan seluruh pemain memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.
Yang pasti, lantikan ini diharap membantu Polking merencana strategi ampuh untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027/Piala Asia 2026. Thailand diletakkan dalam Kumpulan C bersama China, Korea Selatan, Singapura atau Guam.