Susulan kekalahan Terengganu FC di tangan KL City FC dalam aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini, skuad Peteh berharap dapat bangkit semula menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 3 Julai ini. Tetapi satu nama dijangka tersisih iaitu penyerang Jordan Mintah.
Hal ini didedahkan sendiri oleh jurulatih Peteh, Tomislav Steinbruckner. Mintah yang juga penjaring terbanyak skuad Penyu musim ini tidak disenaraikan dalam skuad yang berangkat ke Kedah atas sebab disiplin.
“Saya putuskan dalam perlawanan akan datang, namanya tidak disertakan. Saya akan membuat penilaian selepas ini.
“Saya ketua jurulatih, saya mempunyai cara untuk menentukan siapa yang patut bermain atau tidak. Selalunya, saya tidak boleh merungut tentang sesuatu perkara yang merujuk kepada kualiti pemain-pemain saya.
“Tetapi disiplin mesti sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu temubual bersama Nadi Arena.
Ramai penyokong Peteh berharap percaturan ini tidak memakan diri bila pasukan mereka turun beraksi nanti. Ini bermakna usaha menjaringkan gol Terengganu FC menentang KDA FC bakal diterajui trio Ivan Mamut, Adisak Kraisorn dan Sony Norde.
Mintah yang merekodkan 13 penampilan dalam semua kejohanan telah menjaringkan tujuh gol musim ini. Ini termasuk lima gol yang dijaringkan dalam saingan Liga Super.