Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyeru anak buahnya memberikan tentangan yang hebat menjelang aksi Liga Super bertemu JDT kelak.
Dua perlawanan Liga Super melawan JDT dan Negeri Sembilan amat penting pada pandangan jurulatih itu dalam mencipta momentum positif sebelum turun untuk perlawanan kedua separuh akhir Piala FA menentang Selangor kelak.
Terengganu yang berada di tangga ketiga Liga Super ketika ini perlu meraih sekurang-kurangnya 4 mata dalam dua perlawanan liga kelak bagi meningkatkan semangat dan mental para pemain Sang Penyu.
Tomislav Steinbruckner menyasarkan pasukan Terengganu mampu mengutip mata bertemu juara bertahan JDT pada 26 Julai kelak di gelanggang Stadium Sultan Ibrahim.
“Kita semua boleh lihat pasukan kita akan mengharungi jadual perlawanan yang padat bermula dengan perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim seterusnya Negeri Sembilan FC dan juga separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC. Saya fokuskan perlawanan menentang pasukan JDT terlebih dahulu.
“Menentang pasukan besar seperti JDT, kita perlu bermain untuk mendapatkan kemenangan bagi sekurang-kurangnya kita berjaya mendapat 1 mata.
“Saya ingin pemain saya kekalkan mental dan berani bermain dengan cara kita inginkan. Matlamat daripada dua perlawanan liga sebelum perlawanan Piala FA adalah untuk mengambil empat mata dan itu akan menjadi rangsangan yang baik untuk perlawanan timbal balik nanti.
“Apa yang pasti saya juga mahu pemain menunjukkan nilai sebenar mereka tanpa dibebani dengan keputusan kerana keputusan akan datang hasil daripada permainan yang baik.” ujar Tomislav Steinbruckner.
Terengganu dan JDT muncul dua pasukan yang masih belum tewas dalam saingan Liga Super musim ini apabila Terengganu merekodkan dua kemenangan dan dua seri dalam 4 perlawanan manakala JDT memenangi semua lima perlawanan awal liga.