Walaupun melepaskan pemain tengah tinggi lampai dari Croatia, Domagoj Pusic, Terengganu FC boleh menarik nafas lega apabila mereka berjaya membawa masuk pengganti yang sesuai. Pemain yang dimaksudkan adalah Nurillo Tukhtasinov yang merupakan pemain antarabangsa Uzbekistan.
Lebih menarik lagi, Nurillo yang berusia 26 tahun memiliki rekod cemerlang di negaranya apabila pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan.
Hasil tinjauan di laman transfermarkt, Nurillo kini merupakan pemain kedua termahal Liga Super musim ini dengan dinilai berharga 800 ribu euro (RM 4.1juta). Pemain termahal Liga Super masih kekal menjadi milik pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat dengan nilai 900 ribu euro (RM 4.6juta).
Nurillo berkongsi nilai yang sama dengan seorang lagi pemain JDT, Fernando Forestieri. Kemasukan Nurillo sudah tentu akan memberi nilai tambah kepada bahagian tengah Terengganu lebih-lebih lagi mereka bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.
Untuk info, Nurillo bukanlah pemain yang sering membarisi skuad kebangsaan Uzbekistan dan penampilan beliau bersama skuad Uzbekistan adalah pada tahun 2021. Namin begitu, prestasi beliau bersama bekas kelabnya, Neftchi musim ini boleh dibanggakan.
Nurillo telah mengharungi 13 perlawanan liga untuk Neftchi musim ini. Beliau cemerlang dengan berjaya meledak tiga jaringan selain mencipta dua bantuan gol. Aksi pertama Nurillo dijangka akan dapat disaksikan pada 16 Julai ini apabila Terengganu bakal berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ.