Terengganu Marvels Muncul Juara NSL Kali Pertama, Atasi Johor Jewels
UltraSukan
Johor Jewels

Terengganu Marvels muncul juara Netball Super League (NSL) musim 2026 dengan mengatasi cabaran sengit Johor Jewels di pentas final.

Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih trofi untuk edisi 2026. Malah, ini juga peluang buat Johor Jewels membalas dendam terhadap pasukan Pantai Timur itu.

Ini kerana Terengganu Marvels mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan selatan tanah air itu dalam pusingan round robin.

Gandingan Gretel Bueta dan Laura Langman terus menjadi tonggak utama Johor Jewels. Tendai Masamba dan Siti Maisarah Affandi menjadi sandaran Terengganu Marvels untuk memburu mata.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit memburu mata. Ini terbukti apabila kedua-dua pasukan terikat 17-17 selepas tamat suku pertama.

Suku kedua menyaksikan Siti Maisarah membantu Terengganu Marvels menambah mata demi mata. Ini membolehkan pasukan Pantai Timur itu mendahului 36-32.

Kelebihan itu terus dilebarkan Terengganu Marvels apabila perlawanan memasuki suku akhir ketiga. Johor Jewels turut berdepan masalah apabila An Najwa Azizan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Situasi ini mendorong jurulatih Johor Jewels, Jane Searle memasukkan Puteri Intan Balqis sebagai pengganti An Najwa.

Kemasukan Balqis pada awalnya membantu pasukan selatan tanah air itu mengurangkan defisit mata. Hal ini mendorong Terengganu Marvels meningkatkan serangan untuk mendahului 53-42.

Suku keempat menyaksikan An Najwa kembali masuk ke gelanggang untuk memperkuatkan cabaran Johor Jewels.

Johor Jewels terus berusaha mengurangkan defisit mata tetapi Terengganu Marvels kekal di hadapan sebelum menang dengan keputusan 70-63.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu Marvels muncul juara NSL buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.

Kini, fokus beralih kepada saingan NSL Regional Cup dengan Terengganu Marvels dan Johor Jewels menjadi wakil Malaysia dalam kejohanan itu.