Terengganu ‘Sambar’ Junior Ngong Sam
MakanBola
Terengganu FC

Penyerang Cameroon, Junior Ngong Sam sah memperkuatkan jentera serangan Terengganu FC untuk musim 2025/26.

Perpindahan penyerang berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan Peteh di semua platform rasmi mereka.

“Selamat datang Junior Stephen Ngong Sam!” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas. Ngong Sam juga menjadi tonggak import pertama Terengganu untuk musim 2025/26.

Ini disebabkan Terengganu melepaskan Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla, Argzim Redzovic dan Ismaheel Akinade selepas tamat musim 2024/25.

Satu-satunya tonggak import yang dikekalkan pengurusan Peteh ialah pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

Ngong Sam bukan asing dengan Terengganu kerana pernah menentang pasukan Pantai Timur itu dalam saingan Piala AFC musim 2023/24.

Menariknya, beliau juga pernah merobek gawang Terengganu sebanyak dua kali semasa mewakili kelab Stallion Laguna.

Selain Stallion Laguna, beliau juga pernah mewakili One Taguig, Mendiola dan United City. Ngong Sam menjadi pemain Terengganu baharu yang ketiga selepas Saiful Jamaluddin dan Baqiuddin Shamsudin.